"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

Hyprobulksms

Iktibar dari Al-Quran

Thursday, February 4, 2010

"BOLEH ELAK PELURU?"

Tajuk di atas itu dari pertanyaan seorang guru tua beladiri kepada penulis. Ia antara pertanyaan ‘gerun’ dan ‘ngeri’ dari golongan guru tua baik dari perguruan silat dan bukan silat ketika dalam pertemuan.

Pertemuan guru-guru berkenaan ibarat menemui permata dan ia sering membuka hati dan minda penulis. Apa jua gerun dan ngeri yang bakal dihadapi sebelum, semasa dan sesudah wawancara guru itu, satu pengalaman dan satu kenangan kepada penulis. Guru tua pertama yang ditemui untuk diwawancara (untuk majalah PENDEKAR) adalah Allahyarham Mahaguru Datuk Meor Abdul Rahman Hashim dari Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia di kediaman beliau di Air Kuning, Taiping, Perak pada tahun 1988. Selepas wawancara, kepala penulis dihentak dengan buluh dan bata sebelum diambil sebagai anak angkat.

Itu contohnya, dari ‘angkara’ anak mahaguru itu iaitu Shazali yang mahukan penulis diuji seperti anak-anak gayong lain.

Masuk tahun 2010, pembaca dan warga beladiri terutama orang muda dirasakan perlu tahu dan berfikir dari apa yang bakal didedahkan setelah penulis menyimpan bukan menyorok pengalaman bersama dan ‘suara hati’ guru tua yang telah ditemui.

Giliran bakal pewaris dirasakan perlu dibukakan minda dan pandangan. Mereka mungkin tidak seperti penulis menemui ratusan guru tua, namun pengalaman menemui permata-permata itu akan dikongsi bersama.

Sejak mula melangkah dari dunia politik ke dunia beladiri tahun 1988 untuk mengasas majalah PENDEKAR, banyak suara hati guru-guru itu disimpan hingga kini, kerana ada yang perlu dibuat kajian, perlu diselidik terlebih dahulu dan disimpan untuk peribadi.

Sebagai contoh tajuk di atas, dalam satu pertemuan hujung 80an, guru tua pernah menanya penulis, bolehkah orang sekarang (ahli beladiri) elak peluru? Penulis diam kerana tiada jawapan walaupun tahu mengenai ilmu ‘peluru petunang’. Guru tua itu dengan nada bersahaja menjawab; “Orang dulu... boleh”.

Penulis seorang wartawan berjawatan Ketua Pengarang Kumpulan dan teruja untuk mendapatkan jawapan, terutama ingin melihat dengan mata sendiri sebagai bukti nyata. Walaupun sudah terdedah dengan dunia beladiri sejak kecil lagi, namun setiap guru ada rahsia tersendiri.

(Waktu di majalah PENDEKAR, penulis bertemu dengan guru-guru seorang diri, tidak seperti sekarang, sering membawa rombongan SENI BELADIRI)

Pendekkan cerita, guru itu bangun sambil mencari pistol mainan (mungkin kepunyaan cucu beliau) di sekitar ruang tamu. Sambil mencari, beliau bersuara lagi; “Nak tengok pisau sejengkal pun boleh di elak.”

Yang pisau sejengkal itu, penulis sudah tahu dari ‘permainan keturunan’ tetapi memberitahu tidak tahu kerana hendak tahu ‘rahsia’ guru itu juga. Sebagai wartawan, kedatangan menemui guru tua seperti membawa cawan kosong.

Setelah menemui pistol mainan dengan beberapa pelurunya, pistol itu diberikan kepada penulis. Dengan berdiri hanya berjarak tiga meter, penulis ‘menembak’ guru tua itu. Tembakan pertama, beliau mengelak dengan bersahaja manakala tembakan kedua, beliau menangkap peluru plastik setengah jengkal itu.

Kemudian diambil pembaris kayu enam inci dan menyuruh penulis memegangnya sambil mengacukan ke perutnya dari jarak sejengkal.

Beliau minta penulis tikam perutnya. Beberapakali ditikam tidak kena kerana beliau mengelak dengan ilmu ‘elak sebutir padi’.

Ilmu unik dari bangsa Melayu yang membuatkan ‘jatuh sah’ pahlawan-pahlawan seperti Tok Bahaman, Mat Kilau dan lain-lain tidak berilmu kebal. Namun dengan mengamal ilmu-ilmu demikian mereka mampu berdepan senjata api.

Begitu kisah pertemuan itu. Guru tua itu tidak mahu lagi menyimpan ilmu peringkat tertinggi. Hendak diberikan kepada murid beliau, diberitahu belum ada yang layak. Dirasakan molek, ditunjuk dan dikhabar rahsianya kepada penulis kerana memandangkan usia beliau makin dimamah.

Itupun sebelum diberikan, penulis disoal siasat asal-usul keturunan tok empat, lapan moyang. Bila diberitahu, terus dapat ilmu, bukan satu atau dua tetapi...

Tahun 80an, kisah-kisah pahlawan Melayu menentang penjajah Inggeris, Jepun dan komunis yang tidak dibukukan disampaikan kepada penulis. Pahlawan yang diceritakan itu terdiri samada dari datuk guru itu, atau ayah beliau atau guru kepada guru itu.

Cara mana atau strategi apa yang dipakai untuk menewaskan musuh negara diceritakan. Sememangnya tidak dapat ditulis oleh penulis dalam majalah kerana sudah melakukan ‘perjanjian’, namun kalau menonton filem Patriot lakonan Mel Gibson. Begitulah cara pahlawan Melayu berdepan musuh negara.

Bersambung


Sumber dipetik dari http://senibeladiri.com.my

No comments:

Post a Comment

Jika anda mempunyai sebarang artikel, gambar atau apa sahaja aktiviti berkaitan dengan Silat Cekak yang ingin dihebahkan jangan segan dan jangan silu. Sila hantarkan kepada cekakhanafisdk@gmail.com